BERITA SEMASA

Perkhidmatan ETS, komuter di Utara terganggu akibat kecurian kabel

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter Utara tergendala akibat kecurian kabel di KM95.8 antara Sungai Siput dan Kamunting yang menyebabkan gangguan sistem semboyan.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan berkata, kecurian kabel sepanjang 100m itu dikesan polis bantuannya awal pagi tadi susulan pemeriksaan di lokasi kejadian yang menyebabkan perkhidmatan tren melalui laluan itu mengalami kelewatan lebih 60 minit daripada jadual asal.

Antaranya, perkhidmatan KTM Komuter Utara tren No 2902 mengalami kelewatan sekitar 34 minit, No 2904 (40 minit), No 2903 (23 minit) dan No 2905 (25 minit).

“Semua perkhidmatan ETS yang melalui laluan berkenaan turut dijangka mengalami kelewatan, termasuk EP9121 selama 90 minit, EX9171 (21 minit), EP9323 (enam minit) dan EG9343 (tiga minit),” katanya.

Jelasnya, pasukan teknikalnya giat melaksanakan kerja pembaikan dan pemulihan bagi menstabilkan semula operasi serta memastikan operasi tren kembali seperti biasa secepat mungkin.

KTMB turut menyarankan penumpang mendapatkan maklumat terkini status perjalanan dan kelewatan tren melalui media sosial rasmi KTMB, selain merujuk kakitangan stesen bertugas bagi mendapatkan bantuan lanjut.

Tegasnya, ia memandang serius insiden kecurian kabel yang bukan saja menjejaskan kelancaran operasi tren, tetapi turut mengundang implikasi terhadap aspek keselamatan dan kebolehpercayaan sistem perkhidmatan rel negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button