Polis bantuan KTMB gagalkan cubaan curi kabel di Klang
KUALA LUMPUR – Cubaan seorang lelaki warga asing untuk mencuri kabel berhampiran landasan kereta api di Klang gagal apabila dia diberkas polis bantuan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam rondaan keselamatan di kawasan berkenaan petang semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6.45 petang di KM37.478, sektor Telok Gadong – Teluk Pulai itu, dua anggota polis bantuan KTMB yang menjalankan rondaan di kawasan dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ kecurian kabel terserempak dengan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan berhampiran landasan.
Menurut kenyataan KTMB hari ini, suspek cuba melarikan diri sebaik dikejar namun berjaya diberkas oleh anggota terbabit.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek menemukan sebuah beg kecil, sebilah pisau serta gunting yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Susulan tangkapan berkenaan, lelaki terbabit bersama barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan pada pukul 7.20 malam untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Siasatan awal mendapati, suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan dipercayai warga asing.
KTMB menegaskan perbuatan menceroboh serta merosakkan harta benda kereta api adalah kesalahan serius di bawah Akta Keretapi 1991 (Akta 463) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), yang memperuntukkan hukuman denda, penjara atau kedua-duanya sekali.
“Sebarang pencerobohan atau cubaan mencuri kemudahan infrastruktur rel boleh menjejaskan keselamatan operasi tren serta perkhidmatan kepada penumpang,” kata kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan landasan diminta menyalurkan maklumat kepada Pusat Pengumpulan dan Penyaluran Maklumat Polis Bantuan KTMB di talian 03-2263 1194 yang beroperasi 24 jam atau memaklumkan kepada balai polis berhampiran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








