KTMB tamatkan laluan tren ekspres Gemas-JB Sentral bermula 1 Jan ini
KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menamatkan operasi perkhidmatan tren Ekspres Selatan bagi laluan Gemas–JB Sentral bermula 1 Januari 2026, selepas hampir sedekad beroperasi menghubungkan jajaran selatan negara.
Perkhidmatan yang sebelum ini dikenali sebagai Shuttle Selatan itu beroperasi dengan nombor tren 61 dan 62, menghubungkan Gemas ke Woodlands.
Menurut KTMB, penamatan tersebut dibuat susulan penyusunan semula pelan operasi dan usaha mengoptimumkan perkhidmatan penumpang di jajaran selatan, sejajar kemajuan serta tahap kesiapsiagaan infrastruktur Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru.
KTMB menjelaskan, langkah berkenaan bertujuan memperkukuh kesinambungan perkhidmatan rel yang lebih cekap, bersepadu serta berorientasikan keselesaan dan pengalaman penumpang.
Dalam perkembangan berkaitan, KTMB memaklumkan keperluan perjalanan penumpang di sektor selatan akan dipenuhi sepenuhnya menerusi pengoperasian tren elektrik (ETS) sehingga ke JB Sentral, dengan lapan perkhidmatan disediakan setiap hari bermula tarikh sama.
“Langkah ini juga bertujuan memastikan kesinambungan perkhidmatan yang lebih cekap, bersepadu dan berfokus kepada pengalaman perjalanan penumpang,” katanya, hari ini.
Bagaimanapun, KTMB menegaskan perkhidmatan Ekspres Rakyat Timuran (ERT) bagi laluan JB Sentral–Tumpat–JB Sentral akan terus beroperasi seperti biasa sebagai penghubung utama antara sektor selatan dan Pantai Timur.
Selain itu, perkhidmatan Shuttle Timuran turut disediakan sebagai alternatif perjalanan tanpa henti bagi laluan Gemas–Tumpat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








