Laluan Kuching-Sibu, Kuching-Miri bukan lagi kategori luar bandar – MOT
PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) menjelaskan laluan penerbangan Kuching-Sibu, Kuching-Miri dan Kuching-Bintulu tidak lagi dikategorikan sebagai Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS), sebaliknya berstatus laluan komersial sejak semakan semula dilakukan pada 2017.
MOT berkata, semakan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mendapati laluan berkenaan tidak lagi memenuhi definisi obligasi perkhidmatan awam (PSO) di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771].
Menurut kementerian itu, laluan tersebut turut dioperasikan oleh AirAsia dan Malaysia Airlines, sekali gus menyebabkan ia tidak lagi layak dikategorikan sebagai laluan luar bandar.
“Perubahan status laluan-laluan tersebut sebagai laluan komersial akan lebih menggalakkan penglibatan syarikat penerbangan tempatan untuk beroperasi dan seterusnya memberi pengguna lebih banyak pilihan penerbangan,” katanya dalam satu kenyatan hari ini.
Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan isu dibangkitkan di Dewan Undangan Negeri Sarawak mengenai ketiadaan perkhidmatan penerbangan AirBorneo bagi laluan Kuching-Sibu, Kuching-Miri dan Kuching-Bintulu berikutan perjanjian dimeterai Kerajaan Persekutuan pada 2019.
MOT berkata, Akta Penerbangan Awam Malaysia (Pindaan) 2024 [Akta A1723] mentakrifkan obligasi perkhidmatan awam sebagai perkhidmatan penerbangan yang tidak akan disediakan syarikat penerbangan sekiranya hanya faktor komersial diambil kira.
Pada masa sama, kementerian itu memaklumkan AirAsia kini menyediakan penerbangan bagi laluan Kuching-Miri sebanyak 46 kali seminggu, Kuching-Bintulu 38 kali seminggu dan Kuching-Sibu 37 kali seminggu.
Menurut MOT, laluan seperti Kuching-Sibu dan Kuching-Miri merupakan penerbangan antara bandar dan tidak wajar menerima subsidi sebagaimana penerbangan antara bandar di Semenanjung.
“Kerajaan Negeri Sarawak melalui anak syarikatnya, AirBorneo telah mengambil alih MASwings mulai 1 Januari 2026.
“Sehubungan itu, pihak AirBorneo boleh mengemukakan permohonan untuk menyediakan perkhidmatan penerbangan bagi ketiga-tiga laluan tersebut secara komersial,” katanya lagi.
MOT berkata, kerajaan kekal komited memastikan rakyat Sarawak menikmati akses kepada perkhidmatan penerbangan yang cekap, berpatutan, berkualiti dan selamat demi kesejahteraan rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








