Sarawak laksana operasi pembenihan awan bantu atasi krisis air, jerebu
KUCHING – Operasi pembenihan awan akan dilaksanakan pada 3 hingga 5 September ini bagi membantu menangani krisis air dan keadaan jerebu yang semakin buruk di beberapa kawasan di Sarawak.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Douglas Uggah Embas, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menganggarkan keadaan cuaca pada tempoh berkenaan adalah sesuai bagi pelaksanaan pembenihan, lapor Buletin TV3.
Sehubungan itu, katanya, satu mesyuarat bagi menentukan hala tuju pelaksanaan operasi itu akan diadakan esok dengan keutamaan diberikan kepada empangan Sarawak Energy Berhad (SEB) sebagai sumber utama bekalan elektrik negeri.
“Selepas itu, kita akan pergi kepada takungan air yang parasnya sudah sangat rendah dan seterusnya ke kawasan lain yang memerlukan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN), hari ini.
Uggah yang juga Pengerusi JPBN Sarawak berkata, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) memaklumkan, empat loji air kini terpaksa menghentikan operasi susulan paras takungan yang rendah, membabitkan Simunjan di Bahagian Samarahan, Lingga (Sri Aman), Spaoh (Betong) dan Lichok (Roban).
Uggah berkata, keempat-empat kawasan berkenaan akan menjadi antara tumpuan utama operasi pembenihan awan sekiranya keadaan cuaca mengizinkan.
“Kalau tidak ada awan, persekitaran tidak sesuai untuk pembenihan awan. Kita bukan tidak mahu buat, tetapi kalau pesawat diterbangkan tanpa hasil, ia hanya membazir wang dan rakyat akan lebih marah,” katanya.
Setakat ini, katanya lagi, Sarawak sudah melaksanakan dua operasi pembenihan awan pada Mei dan Jun lalu bagi membantu meningkatkan paras air empangan selepas SEB memaklumkan keadaan sumber air berada pada tahap membimbangkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Uggah berkata bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada jam 10 pagi hari ini menunjukkan keadaan kualiti udara tidak stabil dan berada pada tahap tidak sihat hingga berbahaya di beberapa lokasi di Sarawak.
Uggah berkata pemantauan JPBN bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) diteruskan bagi mendapatkan gambaran terkini mengenai keadaan jerebu, termasuk kesan asap dari kebakaran di Kalimantan yang dibawa angin ke Sarawak.
Menurutnya, pada 29 dan 30 Ogos lalu, Sarawak masing-masing merekodkan sembilan titik panas berbanding 1,180 di Kalimantan dan 18 di Sumatera pada 29 Ogos, manakala jumlah kumulatif titik panas di Sarawak dari Januari hingga 30 Ogos ialah 302, termasuk 186 pada Ogos.
Berkenaan kemungkinan pengisytiharan darurat sekiranya IPU mencecah 500, Uggah menjelaskan pengisytiharan itu perlu melalui mekanisme Kerajaan Persekutuan dan tidak boleh diumumkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, selain hanya membabitkan kawasan yang mencapai paras berkenaan dan bukan seluruh negeri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








