Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri: AirAsia tawar tiket penerbangan RM328, RM398 untuk Sabah dan Sarawak
SEPANG – Kadar tambang tetap penerbangan AirAsia bagi musim perayaan akan datang sebagai usaha memastikan perjalanan rakyat kekal mampu milik dan mudah diakses, khususnya bagi mereka yang pulang ke Sabah dan Sarawak.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, inisiatif itu amat penting memandangkan sambutan perayaan utama seperti Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri merupakan tempoh paling sibuk dalam kalendar perjalanan rakyat Malaysia.
“Kerajaan kekal komited memastikan kos perjalanan tidak membebankan rakyat, terutama ketika musim perayaan apabila keperluan untuk pulang bertemu keluarga menjadi keutamaan,” katanya ketika berucap pada majlis khas di RedQ, hari ini.
Menurut beliau, AirAsia terus memainkan peranan penting menyokong usaha kerajaan menguruskan permintaan tinggi semasa musim perayaan melalui inisiatif tambang tetap yang memberi kepastian harga kepada penumpang, khususnya bagi laluan antara Kuala Lumpur dengan Sabah dan Sarawak.
Bagi musim perayaan akan datang, kerajaan mengumumkan kadar tambang tetap sebanyak RM328 bagi penerbangan antara Kuala Lumpur dan Sarawak, manakala RM398 bagi penerbangan antara Kuala Lumpur dan Sabah.
“Kadar ini bertujuan memberi kepastian kepada rakyat ketika merancang perjalanan pulang ke kampung serta menyokong usaha menyatukan keluarga pada musim perayaan yang penuh bermakna,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, komitmen kerajaan meneruskan bantuan kepada pelajar menerusi program FLYsiswa dengan pemberian baucar bernilai RM400, yang diteruskan tahun ini bagi membantu meringankan kos perjalanan pelajar antara Kuala Lumpur dan Malaysia Timur.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan memastikan mobiliti dan peluang pendidikan dapat dinikmati semua anak muda tanpa mengira lokasi mereka menuntut ilmu,” katanya lagi.
Anthony berkata, sumbangan AirAsia sepanjang tiga tahun lalu syarikat penerbangan itu telah menyediakan lebih 137,000 tempat duduk tambang tetap bagi laluan antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak, selain memperkenalkan 761 penerbangan tambahan ke Malaysia Timur bagi memenuhi permintaan tinggi semasa musim perayaan.
“Langkah tersebut bukan sahaja membantu mengawal kos perjalanan malah memberi keyakinan kepada rakyat untuk merancang kepulangan dengan lebih awal dan teratur,” katanya lagi.
Sempena menyambut Tahun Baharu Cina, beliau turut mengucapkan “Xin Nian Kuai Le” dan “Ma Dao Cheng Gong”, sambil mengingatkan bahawa Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang juga merupakan tempoh penting untuk refleksi, pembaharuan dan kebersamaan.
“Bagi rakyat Malaysia, tradisi balik kampung adalah antara yang paling dihargai. Ia bukan sekadar perjalanan, tetapi detik untuk kembali ke pangkuan keluarga dan meraikan perkara yang benar-benar bermakna,” katanya lagi.
Beliau berharap inisiatif tambang tetap dan bantuan perjalanan itu dapat menjadikan perjalanan pulang ke kampung lebih lancar serta memberi makna lebih mendalam kepada sambutan perayaan rakyat Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








