Pegawai Khas DUN diingatkan patuh titah Sultan Perak
IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengingatkan semua Pegawai Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya mematuhi titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang melarang ahli politik menyampaikan ucapan di masjid dan surau.
Beliau berkata, titah berkenaan wajib dipatuhi oleh semua pihak termasuk dirinya sendiri yang turut memegang portfolio Exco Agama Islam negeri.
“Titah Tuanku mesti dipatuhi. Walaupun saya Menteri Besar dan Exco Agama Islam negeri, saya sendiri tidak berani berucap di mana-mana masjid,” memetik Buletin TV3 online.
Saarani berkata demikian ketika mengulas dakwaan tular yang mengaitkan seorang Pegawai Khas DUN dengan tindakan menyampaikan ucapan di sebuah masjid di daerah Kerian, sekali gus didakwa melanggar titah Sultan Perak.
Menurut beliau, dakwaan tersebut perlu disokong dengan bukti dan tidak boleh dibuat secara melulu tanpa pengesahan.
“Apapun, pihak yang mendakwa perlu mengemukakan bukti. Tidak boleh membuat tuduhan tanpa asas,” katanya lagi.
Beliau turut berkata,, pematuhan terhadap titah Sultan Perak bukan hanya terpakai kepada Pegawai Khas DUN, malah melibatkan jawatankuasa kariah masjid dan surau di bawah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
“Jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini diingatkan supaya tidak membenarkan mana-mana ahli politik menyampaikan ucapan di ruang utama masjid,” katanya lagi.
Sebelum itu, Pengarah Strategi Pemuda PAS Perak, Nurhafizul Badrul Hisham menerusi hantaran di Facebook menggesa seorang Pegawai Khas Menteri Besar Perak yang juga pemimpin AMANAH direhatkan sementara siasatan dijalankan.
Gesaan tersebut dibuat susulan dakwaan individu berkenaan menyampaikan ucapan di sebuah masjid di Kerian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








