
Keluarga Allahyarham Ahmad Azza mangsa serangan Balai Polis Ulu Tiram guna sumbangan bina surau
TAPAH – Keluarga Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi yang terkorban dalam tragedi serangan Balai Polis di Ulu Tiram pada Mei lalu menggunakan sumbangan yang diterima daripada pelbagai pihak untuk pembangunan sebuah surau di Kampung Poh, Bidor.
Bapa Allahyarham, Azhar Khaiden berkata, pembinaan surau tersebut dijangka bermula bulan depan.
“Hasrat pembinaan surau itu disampaikan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang kemudiannya meluluskan permohonan sebanyak RM400,000 untuk bina surau dan saya telah meminta untuk mengabadikan nama arwah dengan nama Surau Al Fahmi.
“Kami sekeluarga telah bersetuju untuk memanfaatkan sumbangan yang diberikan ini untuk melengkapkan keperluan surau tersebut. Insya-Allah,” katanya seperti yang dilaporkan Buletin TV3 hari ini.
Azhar menjelaskan bahawa surau tersebut dijangka siap menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun depan dan mampu menampung 500 jemaah pada satu-satu masa.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan kepada keluarga Allahyarham oleh Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah.
“Kita ambil masa lebih kurang sebulan untuk mengumpulkan sumbangan ini bukan sahaja daripada ahli-ahli Respa tetapi juga daripada orang awam yang turut sama menyumbang. Mereka juga mengucapkan terima kasih atas pengorbanan pegawai dan anggota kita,” katanya lagi.
Sumbangan berjumlah RM34,000 diperoleh, dengan keluarga Allahyarham Konstabel Ahmad Azza dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said masing-masing menerima RM13,000, manakala anggota yang cedera, Koperal Mohd Hasif Roslan menerima sumbangan RM8,000.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








