BERITA SEMASAPMX

Malaysia sasar lahir 60,000 jurutera mahir sektor semikonduktor

SHANGHAI – Malaysia menyasarkan untuk melatih dan meningkatkan kemahiran 60,000 jurutera tempatan berkemahiran tinggi sebagai sebahagian usaha memperkukuh ekosistem industri semikonduktor negara menjelang 2030.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia merupakan antara dua sasaran utama yang ditetapkan menerusi Strategi Semikonduktor Negara.

“Apabila Malaysia melancarkan Strategi Semikonduktor Negara, kita menetapkan dua sasaran untuk tahun 2030. Pertama ialah menarik pelaburan sektor semikonduktor bernilai RM500 bilion.

“Sasaran kedua ialah melatih dan meningkatkan kemahiran 60,000 jurutera Malaysia berkemahiran tinggi,” katanya ketika menyampaikan ucapan khas pada Sidang Plenari Pembukaan Persidangan dan Ekspo WorldSkills Shanghai 2026, di sini hari ini.

Anwar berkata, industri perlu dilibatkan sejak peringkat awal dalam pembangunan bakat bagi memastikan kemahiran yang dimiliki tenaga kerja selari dengan perubahan teknologi dan keperluan pasaran.

Sehubungan itu, katanya, reformasi TVET 2.0 dilaksanakan bagi membawa industri lebih dekat dengan institusi latihan, selain mempercepatkan penguasaan bidang kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan tenaga boleh baharu.

“Setiap industri baharu perlu dipelajari terlebih dahulu sebelum ia dapat dibangunkan.

“Syarikat perlu menjadi rakan kongsi dalam membentuk bakat sejak dari awal lagi bagi memastikan tenaga kerja kita sentiasa berada di hadapan,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman Shanghai yang berkembang daripada industri tekstil kepada sektor berteknologi tinggi seperti semikonduktor dan AI menunjukkan kepentingan proses pembelajaran dan pembangunan kemahiran secara berterusan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menghargai sokongan China terhadap usaha Malaysia membangunkan bakat dalam bidang TVET, termasuk menerusi program Latihan Belia TVET Malaysia-China.

Menurutnya, kerjasama dalam bidang berkenaan turut penting dalam mempersiapkan tenaga kerja Malaysia menghadapi perubahan struktur ekonomi dan teknologi global.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button