Sistem ekonomi tanpa kawal selia kerajaan, hanya rugikan rakyat – PM Anwar
KUALA LUMPUR – Sistem ekonomi tanpa kawal selia kerajaan, hanya akan menguntungkan sesetengah golongan dan merugikan rakyat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, ada keperluan perubahan sistem ekonomi yang menjunjung prinsip manusiawi bagi mencapai keadilan sosial.
“Saya julang kepada keperluan perubahan sistem ekonomi yang menjunjung prinsip manusiawi bagi mencapai keadilan sosial.
“Ini perlu diberi perhatian mengambilkira sistem ekonomi tanpa kawal selia Kerajaan, hanyalah menguntungkan sesetengah golongan dan merugikan rakyat terbanyak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau selepas menyampaikan amanat pada mukadimah forum Khazanah Megatrends 2024 di ibu negara, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, walaupun adakalanya inisiatif yang diambil oleh kerajaan bersifat tidak popular, namun ia adalah bagi memastikan kedudukan kewangan terus kukuh.
“Menyentuh mengenai prakarsa dilaksanakan Kerajaan Madani, adakalanya tidak popular seperti penyasaran subsidi namun ia adalah untuk memastikan kedudukan kewangan terus kukuh bagi melaksanakan agenda reformasi mengangkat darjat hidup rakyat,” kata Anwar.
Mengulas mengenai forum Khazanah Megatrends 2024, Perdana Menteri memohon agar mereka yang terlibat mencari solusi terhadap cabaran ekonomi, sambil meletakkan kepentingan rakyat sebagai fokus utama.
“Saya mohon para hadirin untuk bermusahabah dan mencapai kata sepakat bagi mencari peleraian kepada tantangan ekonomi semasa sambil meletakkan kepentingan rakyat sebagai fokus utama pertemuan dan perbincangan bersama-sama,” ujar Anwar lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








