Ratusan penerbangan tertangguh di AS selepas kabel rosak akibat kerja pembinaan
NEW YORK – Ratusan penerbangan di beberapa lapangan terbang utama di timur laut Amerika Syarikat (AS) mengalami kelewatan selepas gangguan sistem kawalan trafik udara berpunca daripada kerosakan kabel yang dilakukan pekerja pembinaan di New Jersey.
Menurut laporan BBC News, lapangan terbang terjejas termasuk Lapangan Terbang LaGuardia di New York, selain beberapa lapangan terbang utama di Philadelphia, Boston dan New Jersey.
Pentadbir penerbangan, Bryan Bedford, berkata gangguan berlaku selepas satu litar gagal berfungsi, menyebabkan sistem Terminal Radar Approach Control System (TRACON) terputus.
Menurutnya, kabel sandaran sistem berkenaan rosak akibat kerja pembinaan yang dijalankan di New Jersey, sekali gus menjejaskan sistem yang digunakan untuk membimbing pesawat ketika berlepas dan mendarat.
Gangguan itu berlaku sehari sebelum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bermula di New York, yang dijangka menyaksikan kehadiran lebih 130 pegawai kanan dari seluruh dunia.
Keadaan bagaimanapun menunjukkan tanda pemulihan apabila operasi penerbangan mula disambung semula di Lapangan Terbang LaGuardia dan Lapangan Terbang Philadelphia, meskipun kelewatan masih berlaku.
Pegawai terbabit turut memberi amaran bahawa proses membaiki kabel berkenaan mungkin mengambil masa sehingga 13 jam.
Syarikat telekomunikasi Verizon pula memaklumkan pihaknya sedang giat berusaha membaiki kabel berkenaan bagi memulihkan semula sambungan.
Gangguan tersebut turut mencetuskan kesulitan kepada penumpang yang dalam perjalanan ke New York.
Seorang penumpang dari Edinburgh, Douglas Tewnion berkata, pesawat dinaikinya terpaksa dilencongkan ke Boston ketika menghampiri New York.
Katanya, dua jam selepas waktu ketibaan yang dijadualkan, beliau dan penumpang lain masih berada di dalam pesawat di landasan Lapangan Terbang Boston tanpa menerima maklumat lanjut.
“Semua orang masih dalam keadaan baik, tetapi ia menyusahkan apabila perlu menambah dua jam lagi selepas penerbangan yang sememangnya sudah panjang,” katanya kepada BBC News.
Tewnion berkata beliau memahami kelewatan susulan gangguan itu tidak dapat dielakkan, namun maklumat yang lebih jelas diperlukan bagi membolehkan penumpang membuat perancangan perjalanan seterusnya.
Sementara itu, Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy berkata, kejadian berkenaan menunjukkan keperluan mendapatkan peruntukan tambahan bagi memodenkan infrastruktur penerbangan yang semakin berusia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








