JENAYAH & MAHKAMAH

Kanak-kanak maut dicampak bapa saudara ke sungai

KOTA TINGGI – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun lemas selepas dicampakkan ke sungai oleh bapa saudaranya yang dipercayai tidak waras di Kampung Padang, Tanjung Sedili, di Kota Tinggi, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, suspek berusia 37 tahun yang mengamuk dengan bersenjatakan parang dipercayai mencampak mangsa ke sungai sebelum kanak-kanak berkenaan ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, suspek turut mengejar bapa mangsa berusia 40 tahun dan mengugut mahu mencederakannya.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Kuala Sedili pergi ke lokasi kejadian dan berjaya menangkap suspek.

“Bagaimanapun, seorang anggota polis cedera disebabkan berlaku pergelutan ketika cuba menangkapnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, pembantu pegawai perubatan yang tiba di lokasi kemudian mengesahkan kematian kanak-kanak itu.

“Mayat kanak-kanak perempuan itu kemudian dibawa ke Hospital Kota Tinggi sebelum dihantar ke Hospital Pasir Gudang untuk dibedah siasat,” katanya

Punca kejadian masih dalam siasatan dan suspek dipercayai mengalami masalah mental.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 kanun keseksaan kerana membunuh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button