Dua beranak maut, treler hilang kawalan punca nahas di Sedenak
KULAI – Dua beranak maut selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh sebuah treler yang hilang kawalan di Kilometer 34.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Sedenak, semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, ACP Tan Seng Lee berkata, siasatan awal mendapati treler membawa kontena berisi muatan timah dipandu lelaki berusia 39 tahun dari arah utara ke Johor Bahru telah melanggar sebuah Toyota Hilux sebelum terbabas ke laluan bertentangan.
“Kenderaan itu kemudiannya merempuh dua buah MPV iaitu Toyota Estima dan Mazda 5,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Insiden itu mengorbankan dua penumpang Estima, seorang wanita berusia 42 tahun dan anak perempuannya berumur 15 tahun yang mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pemandu serta dua penumpang lain, iaitu suami dan seorang lagi anak perempuan pasangan itu masing-masing berusia 42 dan 18 tahun, mengalami kecederaan ringan dan kini dirawat di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai.
Seng Lee berkata, pemandu treler turut mengalami kecederaan di bahagian kaki dan sedang menerima rawatan di hospital sama.
Sementara itu, lima penumpang Toyota Hilux termasuk tiga kanak-kanak perempuan serta enam lagi mangsa yang menaiki Mazda 5 dilaporkan terselamat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








