Pelumba basikal Itali maut dalam kemalangan
AOSTA (ITALI) – Dunia sukan berbasikal digemparkan dengan pemergian tragis pelumba muda Itali, Samuele Privitera, 19, yang maut selepas terlibat dalam kemalangan ketika perlumbaan peringkat pertama Giro della Valle d’Aosta, malam semalam.
Pasukan yang diwakili Privitera, Hagens Berman Jayco, mengesahkan kejadian itu dalam satu kenyataan yang menyifatkan kehilangan tersebut sebagai tragedi besar yang sukar dibayangkan.
Menurut laporan media tempatan, Privitera dipercayai terjatuh ketika menuruni laluan berliku sebelum topi keledarnya tercabut dan beliau melanggar sebuah pagar besi di tepi laluan.
Mangsa dikejarkan ke hospital sejurus kejadian, namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialami.
Pihak berkuasa Itali kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Pemilik pasukan Hagens Berman Jayco, Axel Merckx, melahirkan kesedihan mendalam atas kehilangan tersebut.
“Samuele adalah jiwa dan semangat pasukan ini. Kami ibarat sebuah keluarga kecil dan kehilangan seperti ini benar-benar menyentak kami,” katanya.
Berikutan insiden itu, penganjur perlumbaan mengambil keputusan membatalkan peringkat kedua Giro della Valle d’Aosta yang berlangsung di wilayah pergunungan berhampiran sempadan Perancis itu.
Giro della Valle d’Aosta merupakan antara kejohanan berbasikal paling berprestij untuk pelumba bawah 23 tahun di Itali, selepas Giro Next Gen.
Sementara itu, pelumba terkenal dan pendahulu keseluruhan Tour de France, Tadej Pogacar, turut menzahirkan rasa dukacita atas insiden menyayat hati itu.
“Saya tujukan kemenangan hari ini kepada Samuele dan keluarganya. Ia perkara pertama yang saya baca pagi tadi dan saya memikirkan tentangnya sepanjang kilometer terakhir perlumbaan,” katanya selepas menjuarai peringkat ke-12 perlumbaan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








