BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Dikejar anjing, lelaki maut motosikal rempuh lori

KLUANG – Cubaan mengelak dikejar anjing berakhir tragedi apabila seorang lelaki maut manakala isteri serta anak lelakinya parah selepas motosikal dinaiki mereka merempuh bahagian belakang sebuah lori di Jalan Empangan, Taman Murni Jaya, Machap, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 petang itu, mangsa, Muhammad Amirul Azim Hamdan, 28, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Menurut beliau, isteri mangsa, Noor Haidah Mohd. Basri, 28, serta anak lelaki mereka yang berusia 20 bulan turut mengalami kecederaan di kepala dan kini menerima rawatan di zon merah Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), di sini.

“Siasatan awal mendapati motosikal jenis Benelli TNT300 yang ditunggang mangsa bersama isteri dan anaknya dalam perjalanan dari Tasik Machap ke Taman Murni.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan selepas dikejar anjing sebelum memasuki laluan bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Keadaan motosikal mangsa yang merempuh belakang lori di Jalan Empangan, Taman Murni Jaya, Machap, Johor.

Tambah Bahrin, motosikal berkenaan kemudiannya melanggar bahagian belakang sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan sebelah kanan, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas pemandu lori berusia 42 tahun didapati negatif dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang di talian 07-7784222 atau 07-7784256, atau 014-365682 bagi membantu siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button