Remaja hilang dalam perjalanan ke Cameron Highlands ditemukan maut
KUALA NERUS – Misteri kehilangan seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang dalam perjalanan ke Cameron Highlands, sejak Khamis lalu terungkai apabila ditemukan maut berhampiran Beting Lintang, Besut.
Mangsa, Ahmad Azreeq Zafreen Ahmad Azhar, 19, yang menunggang motosikal jenis Yamaha R15, dipercayai terbabas selepas kali terakhir dikesan di stesen minyak Petron Beting Lintang sebelum gagal dihubungi oleh ahli keluarganya.
Ibu saudaranya, Noriza Awang, 50, mengesahkan penemuan tersebut dan memaklumkan bahawa keluarga menerima berita itu dengan hati yang reda.
Menurutnya, ibu mangsa, Zaleha Awang bersama suaminya, Ahmad Azhar Mohamad Yusof, 59, serta lima anak mereka dalam perjalanan untuk bercuti ke Cameron Highlands sempena cuti panjang hujung minggu.
“Ketika itu mereka bersama empat anak menaiki kereta manakala Ahmad Azreeq Zafreen menunggang motosikal,” katanya memetik laporan Utusan Online.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Rozaime Ab Rahim berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat seorang lelaki bersama sebuah motosikal yang dipercayai milik mangsa di Kampung Bukit Jeruk kira-kira pukul 6.40 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota polis segera digerakkan ke lokasi kejadian sebelum mengesahkan penemuan mayat berkenaan.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk tujuan bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, polis mengesahkan remaja tersebut sempat berhenti di sebuah stesen minyak Petron di Kampung Beting sebelum gagal dikesan oleh pihak keluarga.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








