Jojo Ghazali antara 154 penerima darjah kebesaran Ahli Bintang Sarawak
KUALA LUMPUR – Peninju Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau lebih dikenali sebagai Jojo Ghazali, melakar satu lagi detik bermakna dalam kariernya apabila menerima Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Ahli Bintang Sarawak (ABS).
Pengurniaan itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak yang berlangsung di Astana Negeri Sarawak, semalam.
Jojo, antara 154 penerima darjah kebesaran dan pingat negeri Sarawak pada istiadat berkenaan. Pengiktirafan tersebut diberikan sebagai penghargaan terhadap pencapaian serta sumbangannya dalam mengharumkan nama Sarawak menerusi sukan Muay Thai.
Menerusi hantaran di media sosial, Jojo menyifatkan Sarawak mempunyai tempat istimewa dalam hidupnya.
Mengungkapkan ‘Agi idup, agi ngelaban’ menggambarkan semangat yang menjadi pegangan petarung itu dalam mengharungi dunia sukan tempur.
“Di Sarawak kami mempunyai pepatah ‘Agi idup agi ngelaban’ yang bermaksud ‘Selagi saya hidup, selagi itulah saya akan berjuang’ dan saya berpegang teguh pada prinsip itu.
“Kepada bandar yang sentiasa di hati saya, terima kasih atas pengiktirafan ini. Alhamdulillah.
“Saya akan terus berusaha sehabis baik untuk mengharumkan nama tempat ini” memetik laporan Sinar Harian.
Antara pencapaian terbesar yang melonjakkan namanya ialah kejayaan menjuarai Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia IFMA 2022 selepas menewaskan wakil Rusia, Rustam Yunusob.
Jojo kemudian mencuri perhatian menerusi pentas ONE Championship selepas beberapa kemenangan meyakinkan yang akhirnya membolehkannya memperoleh kontrak bernilai AS$100,000 (RM408,640) bersama organisasi seni bela diri berkenaan.
Daripada seorang remaja yang berlatih di gim Muay Thai di Sarawak, Jojo kini berdiri sebagai antara wajah muda Malaysia yang mendapat perhatian di pentas antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








