BERITA SEMASALUAR NEGARA

Wanita maut dipaksa telan air kotor bomoh

LUCKNOW – Seorang wanita berusia 35 tahun maut selepas menjalani ritual tradisional yang dikendalikan oleh seorang bomoh di kampung Pahalwan Pur, daerah Azamgarh, Uttar Pradesh.

Menurut kenyataan polis, mangsa, Anuradha, telah mendirikan rumah tangga selama sedekad namun masih belum dikurniakan cahaya mata.

“Dia dilaporkan mendapatkan rawatan daripada seorang bomoh tempatan dikenali sebagai Chandu, yang mendakwa mampu membantu wanita untuk hamil menerusi kaedah perubatan tradisional.

“Bomoh itu mendakwa mangsa dirasuk makhluk halus dan melakukan pelbagai upacara termasuk menarik rambut, menekan mulut serta leher mangsa, selain memaksanya menelan air kotor dari longkang dan tandas,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut pihak berkuasa, ibu mangsa cuba menghalang upacara tersebut, namun tidak berjaya.

Keadaan Anuradha semakin kritikal sebelum dia dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia sejurus tiba.

Siasatan awal mendapati bomoh terbabit menerima bayaran pendahuluan sebanyak 22,000 rupee (kira-kira RM1,090) daripada keluarga mangsa sebagai sebahagian daripada yuran rawatan.

“Suspek utama pada awalnya melarikan diri, namun telah menyerah diri kepada polis. Sementara itu, pembantunya masih dikesan dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan,” ujarnya.

Penduduk kampung turut memaklumkan bahawa bomoh tersebut telah membina sebuah struktur khusus menyerupai kuil kecil sebagai tempat menjalankan ritual, dipercayai bagi memperdaya mangsa.

Kes itu menambah kepada senarai kejadian membabitkan penipuan berkedok perubatan tradisional yang meragut nyawa, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat setempat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button