Bayi empat bulan maut di pusat jagaan dalam kawasan hospital
SEBERANG JAYA – Seorang bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia selepas dipercayai tidak sedarkan diri ketika berada di sebuah pusat jagaan kanak-kanak yang beroperasi dalam kawasan Hospital Seberang Jaya hari ini.
Mangsa, Hayl Haarith Mohd Syafaeez, dikejarkan ke Jabatan Kecemasan hospital berkenaan kira-kira jam 4 pagi dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dihantar ke pusat jagaan itu pada malam sebelumnya.
Ibunya, Ummu Habibah Wahab, 30, yang juga seorang jururawat difahamkan sedang bekerja syif malam ketika kejadian berlaku.
Doktor dilaporkan menjalankan resusitasi kardiopulmonari (CPR) selama kira-kira sejam, namun bayi tersebut gagal diselamatkan.
Bapa saudara mangsa, Ahmad Lutfihadi Wahab berkata, mereka bergegas ke hospital selepas menerima panggilan daripada ibu mangsa yang memaklumkan keadaan bayinya bertukar kebiruan.
“Kakak saya menelefon memaklumkan anaknya kebiruan dan tidak bernyawa. Kami bergegas ke Jabatan Kecemasan tetapi bayi itu meninggal dunia ketika CPR dijalankan,” memetik HM online.
Menurutnya, beliau turut mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari pusat jagaan berkenaan yang dipercayai menunjukkan kemungkinan berlaku penderaan terhadap bayi tersebut.
Sehubungan itu katanya, satu laporan polis telah dibuat bagi menggesa siasatan menyeluruh dijalankan terhadap kejadian berkenaan.
“Pusat jagaan itu beroperasi 24 jam dan dipantau penyelia, namun kejadian ini tetap berlaku sehingga anak saudara saya dihantar ke Jabatan Kecemasan dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya lagi.
Tambahnya, bayi itu merupakan anak pertama kepada Ummu Habibah dan baru dihantar ke pusat jagaan tersebut selepas ibunya kembali bekerja selepas tamat tempoh berpantang.
“Kami sangka ia selamat kerana berada dalam kawasan hospital, tetapi tidak menyangka perkara seperti ini boleh berlaku,” katanya lagi.
Menurutnya, sebelum itu beliau sering menghantar dan mengambil bayi berkenaan di pusat jagaan itu dan tidak pernah melihat sebarang kecederaan.
Bagaimanapun terdapat ibu bapa lain yang pernah membangkitkan kebimbangan mengenai insiden tertentu di pusat tersebut termasuk dakwaan kanak-kanak ditampar.
Sementara itu, polis dilihat berada di lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan dan membawa keluar beberapa bahan bukti berkaitan kes berkenaan.
Difahamkan dua wanita turut dibawa bagi membantu siasatan.
Jenazah bayi berkenaan akan dikebumikan di Terengganu berhampiran kubur neneknya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








