BERITA SEMASA

Cukai taksiran bukan beban, hasilnya kembali kepada rakyat – Hannah

PUTRAJAYA – Pembayaran cukai taksiran tidak seharusnya dilihat sebagai beban, sebaliknya merupakan sumbangan yang akan dikembalikan semula kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif dan perkhidmatan bandar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, setiap hasil yang dikutip akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk serta membantu golongan yang memerlukan.

cabutan bertuah
Penerima cabutan bertuah Perbadanan Putrajaya

“Kita perlu mengimbangi tanggungjawab kepada pemilik rumah dan pada masa sama membantu golongan yang kurang berkemampuan.

“Setiap ringgit hasil yang dikutip akan diusahakan supaya dapat dipulangkan semula kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif di bandar,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Hadiah Cabutan Bertuah Cukai Taksiran dan Majlis Penyampaian Anugerah Penarafan Bintang Kualiti Pengurusan Skim Pemajuan Berstrata 2025 Wilayah Persekutuan Putrajaya hari ini.

Menurut Hannah, pembayaran cukai taksiran bukan sahaja satu tanggungjawab sebagai pemilik hartanah, malah merupakan satu keistimewaan kerana tidak semua rakyat berpeluang memiliki rumah.

“Apabila seseorang memiliki rumah, ia datang bersama tanggungjawab untuk membantu membiayai perkhidmatan yang disediakan kepada masyarakat.

“Kita mahu memastikan hasil yang dikutip dapat dimanfaatkan secara berkesan demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan bandar yang lebih mampan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, program Cabutan Bertuah Cukai Taksiran anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) tahun ini diperluaskan dengan meningkatkan jumlah pemenang daripada 70 kepada 100 orang sebagai penghargaan kepada pembayar cukai yang menunaikan tanggungjawab mereka.

“Majlis ini turut mengiktiraf pengurusan skim perumahan berstrata yang menunjukkan prestasi cemerlang menerusi Anugerah Penarafan Bintang Kualiti Pengurusan Skim Pemajuan Berstrata 2025,” katanya lagi.

Menurut beliau, satu kategori khas turut diperkenalkan bagi menghargai pengurusan yang mencatat lonjakan prestasi tertinggi sebagai galakan untuk terus meningkatkan mutu pengurusan kawasan perumahan.

“Bagi Jawatankuasa Pengurusan (MC) dan Badan Pengurusan Bersama (JMB), tanggungjawab yang dipikul amat besar. Kita mahu memberi dorongan dan pengiktirafan kepada mereka yang melaksanakan amanah ini dengan baik,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button