JENAYAH & MAHKAMAH

Warga emas dirempuh kereta, maut selepas bertarung nyawa hampir sembilan jam

GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga emas yang parah selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di Bayan Lepas meninggal dunia awal pagi tadi, selepas hampir sembilan jam menerima rawatan di hospital.

Dalam kejadian pada pukul 2.55 petang di Jalan Tun Dr Awang itu, mangsa berusia 71 tahun yang merupakan pejalan kaki dilaporkan dilanggar sebuah kereta dipandu lelaki tempatan berusia 19 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, siasatan awal mendapati, kereta berkenaan dalam perjalanan dari Bayan Lepas menuju ke pusat bandar sebelum terlibat dalam kemalangan berhampiran Bulatan Bayan Lepas.

“Akibat pelanggaran tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 12.05 tengah malam tadi ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pemandu kereta berkenaan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian,” ujarnya.

Terdahulu, tular satu klip video memaparkan seorang lelaki warga emas dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di lintasan pejalan kaki dipercayai di kawasan Bayan Lepas.

Akibat pelanggaran itu, mangsa cedera parah sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button