Mayat lelaki warga emas ditemukan di tepi longkang, diklasifikasi mati mengejut
BUTTERWORTH – Polis mengklasifikasikan kematian seorang lelaki warga emas yang ditemukan dalam longkang di Jalan Merbau Kudung, Sungai Dua, di sini semalam sebagai kematian mengejut (SDR).
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asistan Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa warga tempatan berusia 64 tahun itu meninggal dunia akibat lemas, tanpa sebarang unsur jenayah dikesan.
Menurutnya, pemeriksaan Unit Pengesan (K9) di lokasi kejadian turut tidak menemui sebarang petunjuk atau barangan yang boleh membantu siasatan.
“Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan patah pada pergelangan kaki kiri, dipercayai akibat terjatuh ke dalam longkang berkenaan.
“Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah lemas dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa ditemukan sekumpulan kanak-kanak yang sedang memancing di kawasan itu sebelum dimaklumkan kepada penduduk kampung dan pihak polis pada pukul 10 pagi.
Sebelum itu, mangsa dikenal pasti sebagai Adanan Hassim, 64, ditemui dalam keadaan terapung di dalam takungan longkang berkenaan.
Menurut siasatan awal, saksi memaklumkan mangsa kali terakhir dilihat dua hari sebelum kejadian.
Pasukan bomba turut dikerahkan ke lokasi bagi membantu mengeluarkan mayat dari takungan longkang sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Polis dalam masa sama menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan atau mengganggu sensitiviti keluarga mangsa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Jefri Hussain di talian 04-5762222 sambungan 2275 atau mana-mana balai polis berhampiran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















