BERITA SEMASADALAM NEGERI

UniSZA larang aktiviti riadah air susulan dua insiden lemas

KUALA TERENGGANU – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah mengeluarkan larangan serta-merta terhadap semua pelajarnya daripada terlibat dalam sebarang aktiviti riadah di kawasan perairan, berikutan dua kejadian lemas yang berlaku dalam tempoh kurang seminggu.

Arahan itu diumumkan melalui notis rasmi yang dikeluarkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniSZA atas faktor keselamatan dan akan berkuat kuasa sehingga diberitahu kelak oleh pihak universiti.

“Semua mahasiswa/i UniSZA dilarang sama sekali terlibat dengan sebarang aktiviti rekreasi di kawasan perairan atas faktor keselamatan,” jelas kenyataan tersebut.

Dua kejadian lemas libat dua pelajar pada minggu ini

Tindakan tersebut diambil selepas dua insiden berasingan melibatkan pelajar universiti itu yang lemas ketika menjalankan aktiviti rekreasi.

Insiden pertama berlaku pada 12 Mei lalu apabila Wan Ahmad Irfan Wan Abdullah Thani, 24, ditemukan lemas selepas tenggelam bersama lima rakannya ketika mandi di bahagian tengah sungai di Lata Changkah, Setiu.

Beberapa hari kemudian, Abed Mifzal Azman, 22, turut maut selepas dihanyutkan fenomena kepala air ketika berkelah bersama enam rakan di Hutan Lipur Lata Payung, juga di Setiu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris sebelum ini mengingatkan bahawa kawasan Lata Payung tidak sesuai untuk aktiviti riadah disebabkan cuaca yang tidak menentu, berisiko menyebabkan fenomena kepala air.

Pihak universiti dalam pada itu menasihatkan semua pelajar agar sentiasa mengutamakan keselamatan diri serta mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan demi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button