
TPM yakin keupayaan RISDA, mahu prestasi berganda tahun depan
KUALA LUMPUR – Pengurusan tertinggi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) diminta mencari formula baharu yang dapat menjadi ‘game changer’ dalam mengembalikan era kegemilangan negara sebagai pengeluar getah nombor satu dunia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun telah mencatatkan prestasi yang baik pada tahun lalu, RISDA perlu mencari pembaharuan dengan meneroka peluang baharu dalam mendepani saingai industri yang semakin mencabar.
Usaha itu kata beliau bukan sahaja penting untuk meningkatkan hasil negara tetapi menaik taraf kehidupan warga-warga pekebun kecil di seluruh negara.
“Sejak 50 tahun dahulu, kerajaan telah membelanjakan berpuluh-puluh bilion ringgit untuk memajukan pekebun getah dan kita pernah jadi pengeluar nombor satu dunia tapi kini kedudukan itu diambil oleh orang (negara) lain.
“Sehingga sekarang kita terpaksa mengimport lebih RM6 bilion getah dari negara jiran sedangkan kita sendiri ada komiditinya.
“Saya berharap dalam masa setahun ini, pengurusan tertinggi RISDA yang baharu, dapat mencari satu formula untuk melihat satu perubahan yang drastik pada institusi ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Aprisiasi Pelajar Cemerlang Program Tuisyen Rakyat RISDA tahun 2023 di ibu negara hari ini.

Turut hadir adalah Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib dan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Mohd Khair Razman Mohamed.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, usaha itu perlu dilakukan melalui kerjasama berterusan antara anak-anak syarikat RISDA, kementerian, agensi dan sektor swasta.
Katanya, ketika berdepan dengan pasaran getah sintetik yang semakin meluas, RISDA perlu memikirkan potensi menjana pendapatan yang berbeza dengan ‘cara lama’.
“Jika sebelum ini kita tertumpu kepada pengeluaran getah mungkin tiba masa untuk kita tumpu kepada pengeluaran produk-produk hiliran,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM4.16 juta kepada RISDA untuk melaksanakan program Program Tuisyen Rakyat RISDA pada tahun lalu.
Peruntukan itu katanya telah memberi manfaat kepada 3,000 orang pelajar melibatkan 200 pusat tuisyen di seluruh negara dengan komitmen daripada 1,000 orang guru.
Inisiatif itu jelas beliau bertujuan memberikan peluang kepada lebih ramai pelajar di luar bandar menikmati pendidikan berkualiti sekaligus menaik taraf kehidupan.
“Program Tuisyen Rakyat ini juga membuktikan kesungguhan kerajaan melalui RISDA membawa pembaharuan dan melindungi generasi pekebun kecil daripada terus bergantung kepada sektor getah semata-mata,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, sejak dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMKe-9), Program Tuisyen Rakyat telah menunjukkan keberkesanannya dalam meningkatkan prestasi akademik pelajar.
“Kejayaan pelajar pada hari ini adalah pencapaian yang perlu dikongsi dan dihargai sebagai bukti betapa pentingnya sokongan dan usaha bersama dalam membantu pelajar luar bandar mencapai kecemerlangan dalam pendidikan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga sedang dalam kerjasama dengan universiti tempatan untuk memberi peluang kepada anak-anak pekebun kecil merasai pengalaman kehidupan di kampus sebagai motivasi untuk cemerlang dalam pelajaran.
“Dengan peruntukan yang ada, saya sendiri akan terus meneroka kerjasama dengan universiti awam agar pelajar-pelajar ini diberi pendedahan seawal mungkin untuk mengejar masa depan mereka.
“Ini sudah saya lakukan sejak lebih 20 tahun di Parlimen saya dan kesannya cukup baik,” katanya.
Pada majlis itu, seramai 640 pelajar yang mengikuti Program Tuisyen Rakyat di bawah KKDW melalui RISDA telah mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2023.
Dari segi prestasi, seramai dua pelajar yang mengikuti program itu berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM iaitu 12A, 19 lagi memperoleh 11A, 17 orang 10 A dan majoriti yang lain memperoleh lebih 5A.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








