Kanak-kanak hilang di Sungai Nilam ditemukan lemas
HULU SELANGOR – Seorang kanak-kanak lelaki yang dipercayai lemas ketika bermain di tebing Sungai Nilam, Gedangsa di sini, ditemukan meninggal dunia petang tadi.
Mangsa, Muhamad Aakif Imran Asrul Nizam, 10, ditemukan pasukan penyelamat di dasar sungai sejauh 300 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 1.45 petang semalam.
Menurut beliau, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika bermain berhampiran tebing sebelum dihanyutkan arus deras.
“Pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor bersama anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu telah membuka Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
“Operasi pencarian bermula pada pukul 2 petang hingga 7 malam sebelum dihentikan sementara berikutan keadaan gelap dan disambung semula pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa ditemukan oleh pasukan bomba dan penyelamat pada pukul 4.36 petang di kedalaman enam meter.
“Mayat mangsa berjaya dibawa keluar dari kawasan kejadian pada pukul 5.10 petang.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat,” katanya.
Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat turut melibatkan Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bagi mengesan mangsa yang hilang di sungai berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















