Pekerja kontrak ditemukan lemas dalam tangki menara penyejuk
KUALA LANGAT – Misteri kehilangan seorang pekerja kontrak teknikal ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di Loji Janakuasa Kuala Langat terjawab selepas lelaki itu ditemukan lemas dalam tangki kolam menara penyejuk, awal pagi tadi.
Mangsa lelaki tempatan berusia 34 tahun itu ditemukan pada pukul 4 pagi selepas dilaporkan hilang pada pukul 7.26 malam ketika melakukan kerja menggantikan kayu di menara penyejuk berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, ketika kejadian mangsa bersama seorang rakannya sedang menjalankan kerja penyelenggaraan sebelum rakannya keluar mengambil kayu.
Katanya, kira-kira 15 minit kemudian, rakannya kembali ke lokasi namun mendapati mangsa sudah tiada.
“Pada awalnya, rakan mangsa menyangka dia pergi ke bilik air, namun mula mengesyaki mangsa mungkin terjatuh selepas tidak muncul.
“Rakan mangsa kemudian memaklumkan kejadian kepada penyelia sebelum menghubungi bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seramai 12 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP KLIA digerakkan bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Mangsa kemudiannya ditemukan dalam tangki kolam menara penyejuk sebelum disahkan meninggal dunia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








