LUAR NEGARA

Israel tolak pelan damai Gaza, sedia bertindak sendiri terhadap Iran

BAITULMAQDIS – Israel semakin menunjukkan pendirian tegas untuk meneruskan agenda ketenteraannya di rantau Asia Barat apabila menolak pelan damai Gaza yang diterajui Amerika Syarikat (AS), selain dilaporkan membuat persiapan untuk melancarkan tindakan ketenteraan secara unilateral terhadap Iran.

Perkembangan itu mencetuskan kebimbangan bahawa Israel mungkin meneruskan operasi ketenteraan di Gaza dan pada masa sama mengambil tindakan sendiri terhadap Iran sekiranya Washington memilih pendekatan diplomatik untuk menamatkan konflik dengan Tehran.

Media Israel melaporkan tentera negara itu masih mengekalkan pilihan untuk melancarkan operasi secara bebas, walaupun AS mengambil keputusan berundur daripada tindakan ketenteraan secara langsung terhadap Iran.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, sebelum ini dilaporkan mengarahkan tentera bersiap sedia untuk kemungkinan operasi ‘blue-and-white’, iaitu operasi ketenteraan yang dilaksanakan Israel tanpa bergantung sepenuhnya kepada sokongan AS.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu turut dilaporkan pernah membincangkan kemungkinan Israel berdepan Iran tanpa sokongan penuh Washington, ketika pentadbiran Presiden AS Donald Trump dilihat berusaha mencari jalan diplomatik bagi menamatkan konflik.

Pengerusi Joint Chiefs of Staff AS, Jeneral Dan Caine, dilaporkan memberi amaran bahawa peningkatan operasi ketenteraan boleh mewujudkan risiko baharu, selain objektif Washington terhadap Iran mungkin sukar dicapai hanya melalui serangan udara.

Dalam perkembangan berkaitan, Netanyahu secara rasmi menolak pelan damai Gaza yang diterajui Trump, dengan menegaskan tentera Israel tidak akan berundur dari Gaza sehingga Hamas dilucutkan senjata sepenuhnya.

Ketika mesyuarat Kabinet Ahad, Netanyahu berkata Israel hanya akan menerima pelucutan senjata secara menyeluruh, termasuk senjata ringan yang dimiliki Hamas, selain menegaskan sebarang ancaman keselamatan terhadap Israel akan terus ditangani.

Pelan yang diumumkan Trump pada 30 Julai lalu itu menggariskan proses pelucutan senjata Hamas dan kumpulan bersenjata lain secara berperingkat, termasuk penghapusan senjata berat, depoh serta kemudahan pengeluaran senjata dan rangkaian terowong di Gaza.

Hamas bagaimanapun menegaskan semula komitmennya terhadap pelan berkenaan dan menggesa negara pengantara serta penjamin memastikan proses damai itu tidak digagalkan.

Menteri Luar Palestin, Varsen Aghabekian Shahin, pula menuduh Netanyahu sengaja melengahkan perjanjian Gaza sehingga selepas pilihan raya Israel yang dijadualkan pada Oktober depan.

Beliau mendakwa Netanyahu tidak mahu mencapai sebarang perjanjian dan mahu rakyat Palestin terus berada dalam keadaan tidak menentu.

Shahin turut memberi amaran mengenai peningkatan keganasan peneroka Israel di Tebing Barat yang didakwanya semakin terancang dan bersenjata, selain menyebabkan kerosakan terhadap tanah pertanian serta harta benda penduduk Palestin.

Pemerhati melihat pendirian Israel itu berpotensi merumitkan usaha antarabangsa untuk menamatkan konflik, lebih-lebih lagi apabila pelan damai berkenaan turut mencadangkan pentadbiran harian Gaza diserahkan kepada jawatankuasa teknokrat Palestin di bawah penyeliaan Board of Peace yang diterajui AS.

Perkembangan terbaharu itu menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana Israel bersedia mengikut pendekatan diplomatik Washington, khususnya ketika AS cuba mengelakkan konflik dengan Iran daripada berkembang menjadi perang serantau yang lebih besar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button