JENAYAH & MAHKAMAH

Guna logo JIM pada kenderaan, 12 warga asing ditahan

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki warga Pakistan menggunakan logo Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada sebuah kenderaan pacuan empat roda bersama lampu mata arah membawa kepada penahanan 12 warga asing dalam operasi khas di sekitar ibu negara, semalam.

Operasi itu dijalankan sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya berdasarkan maklumat video tular di media sosial.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, hasil pemeriksaan di sebuah premis di PV3 Platinum Hill Condominium, Setapak, pihaknya menahan seorang lelaki warga Pakistan yang dipercayai individu dalam video berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut turut menemukan seorang wanita warga Indonesia yang didapati telah tinggal lebih masa di negara ini.

“Dua pasport warga Indonesia yang dipercayai milik individu lain turut ditemukan dalam milikan lelaki warga Pakistan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, lelaki warga Pakistan itu ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Akta Imigresen 1959/63, manakala wanita warga Indonesia berkenaan ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sebahagian daripada warga asing yang ditahan dalam serbuan JIM di Setapak, Kuala Lumpur, semalam.

Susulan penahanan itu, pasukan operasi mengesan sebuah Toyota Hilux bernombor pendaftaran VLH8773 yang dipercayai digunakan dalam video berkenaan.

Kenderaan itu ditemukan di sebuah kedai cucian kenderaan di Jalan Kuching dan pemilik sebenarnya, juga seorang lelaki warga Pakistan, berjaya ditahan.

Pemeriksaan di premis berkenaan turut membawa kepada penahanan empat lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki warga Pakistan dan seorang lelaki warga India yang dipercayai pekerja kedai cucian kenderaan terbabit.

Pemilik Toyota Hilux itu ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, manakala empat warga Bangladesh, tiga warga Pakistan dan seorang warga India ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama.

Zakaria berkata, siasatan awal mendapati video terbabit sebenarnya dirakam pada April 2025 sebelum dimuat naik semula menerusi status WhatsApp oleh isteri individu berkenaan pada 7 Ogos lalu ketika berada di Indonesia.

Katanya, pemilik kenderaan mengaku memasang logo JIM dan lampu mata arah itu untuk kegunaan peribadi tanpa sebarang tujuan rasmi.

“Beliau mendakwa tidak mengetahui perbuatan itu merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang dan memaklumkan logo JIM serta lampu mata arah berkenaan telah dibuang sebelum video tersebut kembali tular,” katanya.

Kesemua individu yang ditahan bersama kenderaan terbabit dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan dan siasatan lanjut.

JIM menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan logo atau identiti jabatan yang boleh mengelirukan orang ramai serta menjejaskan imej dan integriti agensi berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button