2 beradik lemas: Nenek tidak sangka dua cucu ‘pergi’ serentak
KUALA TERENGGANU – Nenek kepada dua beradik yang ditemukan lemas di Sungai Jeram Hulu dekat Manir, di sini, tidak menyangka kehilangan dua cucunya serentak dalam kejadian petang semalam.
Dalam kejadian itu, Nur Afiqah Shahirah Mohd Shawalluddin, 15, dan adik tirinya yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam, Nur Shahila Shahirah Azman, 12, disahkan meninggal dunia selepas mayat mereka ditemukan di dasar sungai.
Nenek mangsa, Esah Salleh, 76, berkata, kedua-dua cucunya jarang ke sungai, namun sejak beberapa hari lalu mereka kerap mandi di kawasan berkenaan selepas pulang dari sekolah.
“Cucu jarang ke sungai, tetapi dalam dua atau tiga hari ini mereka setiap hari ke sana selepas balik sekolah sebelum pulang ke rumah sekitar jam 5 petang.
“Saya tidak sangka hari ini hari terakhir mereka sebelum ditemui lemas di sungai,” memetik BH online.
Menurutnya, ibu mangsa, Suria Sulong, 34, yang juga OKU lembam sejak lahir, terlalu sedih dan hanya mampu menangis selepas dimaklumkan kejadian menimpa dua anaknya.
“Ibunya diam dan tidak bercakap, hanya menangis sahaja. Mungkin masih terkejut dengan kejadian yang menimpa dua anak serentak,” katanya lagi.
Esah berkata, Nur Afiqah dan Nur Shahila tinggal bersamanya sejak kira-kira tiga tahun lalu selepas ibu mereka berpisah dengan suami.
“Rumah ini selama ini agak riuh dengan suara dua cucu, namun selepas ini pasti sunyi kerana tiada lagi kedengaran suara mereka.
“Selepas ini hanya makcik dengan anak sahaja yang tinggal. Makcik reda dengan kejadian ini dan bersyukur mayat mereka tidak lama berada dalam air,” katanya lagi.
Jenazah kedua-dua mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jeram selepas solat Zuhur, hari ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















