BERITA SEMASA

TDM nafi abai kebajikan anggota, tegas bantuan kepada Abdul Hamid disalur sejak insiden

KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) menegaskan kebajikan anggotanya sentiasa menjadi keutamaan dan menolak dakwaan berlaku pengabaian terhadap Abdul Hamid Talib seperti dilaporkan media sebelum ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, TDM memaklumkan pelbagai usaha telah dilaksanakan sejak insiden yang menimpa anggota berkenaan pada 12 Mac lalu bagi memastikan beliau menerima rawatan perubatan terbaik serta bantuan kebajikan yang sewajarnya.

“Sepanjang tempoh rawatan, anggota telah menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru sebelum dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan dan seterusnya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi rawatan serta rehabilitasi lanjut.

“Kebajikan anggota sentiasa menjadi keutamaan TDM. Sejak insiden yang berlaku pada 12 Mac 2026, pelbagai bentuk bantuan dan sokongan telah disalurkan kepada anggota serta keluarganya,” kata kenyataan tersebut.

TDM memaklumkan lawatan kebajikan turut dilaksanakan secara berterusan oleh pelbagai peringkat pemerintahan bagi memantau perkembangan kesihatan mangsa.

“Ini termasuklah persediaan anggota untuk menjalani penjagaan di rumah selepas discaj nanti,” katanya.

Dalam perkembangan sama, TDM memaklumkan siasatan dalaman berhubung kes tersebut telah selesai dijalankan dan tindakan sewajarnya telah diambil terhadap individu yang terlibat mengikut peruntukan sedia ada.

“Proses pemberhentian perkhidmatan terhadap pelaku sedang dilaksanakan. Pada masa yang sama, siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah selesai dan sebarang tindakan lanjut adalah tertakluk kepada proses perundangan,” menurut kenyataan itu.

TDM turut menyeru semua pihak supaya mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih sebelum membuat sebarang kenyataan bagi mengelakkan kekeliruan serta menjaga sensitiviti anggota dan keluarganya.

“TDM kekal komited untuk terus memberikan perhatian terhadap kes kebajikan anggota serta akan menyalurkan bantuan mengikut keperluan dan peruntukan yang ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan insiden pukul melibatkan Abdul Hamid yang berlaku di Rejimen 22 Komando, Kem Iskandar Mersing ketika bulan Ramadan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button