BERITA SEMASA

Anggota bomba sukarela hilang ketika uji bot di tasik

IPOH – Seorang anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam tasik berhampiran Jalan Lahat Mines, Bandar Baru Lahat Mines ketika menyertai latihan dan pengujian bot semalam.

Mangsa dikenali sebagai Ka-Jun Cheng Siew, 25, merupakan ahli PBS Menglembu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, ketika kejadian latihan itu disertai 16 peserta membabitkan pasukan PBS Menglembu, PBS Pasir Pinji dan PBS Pekan Baharu.

Menurutnya, selepas latihan selesai, mangsa bersama seorang rakannya yang menaiki bot membuat pusingan terakhir di tasik bekas lombong berkenaan.

“Bagaimanapun kedua-dua mereka dipercayai terjatuh ke dalam tasik, namun pemandu bot berjaya diselamatkan manakala mangsa masih belum ditemui.

“Jarak mangsa terjatuh dianggarkan sekitar 45 hingga 50 meter dari tebing dan lokasi tersebut mempunyai kedalaman kira-kira 15 meter,” memetik BH online.

Beliau berkata, kawasan itu merupakan lokasi yang sering digunakan oleh pasukan JBPM dan PBS untuk menjalankan latihan.

“Mangsa dipercayai tidak memakai jaket keselamatan atau personal flotation device (PFD) ketika membuat pusingan terakhir dengan bot tersebut,” katanya lagi.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dihentikan pada tengah malam Ahad disambung semula pada pagi ini.

Beliau berkata, operasi itu melibatkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM, Unit Anjing Pengesan (K9) serta pencarian di permukaan air.

“Selain itu, pasukan penyelamat turut menggunakan teknologi sonar bagi mengesan kedudukan mangsa di dasar tasik serta bantuan dron untuk menentukan lokasi sebenar kejadian,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button