Remaja dikhuatiri lemas selepas jatuh sungai ketika memancing
KUANTAN – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai berhampiran Sekolah Kebangsaan Sungai Talam, di sini, malam tadi.x
Mangsa dikenali sebagai Muhammad Isyraf Danish Razmi dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti memancing bersama tiga rakannya sebelum dipercayai tergelincir ke dalam sungai sekitar jam 8 malam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.21 malam.
“Enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota dikerahkan ke lokasi sejurus menerima maklumat kejadian.
“Berdasarkan laporan awal, mangsa bersama tiga rakannya dipercayai memancing berhampiran sungai tersebut sebelum mangsa dilaporkan terjatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan serta-merta dengan kaedah pencarian di permukaan sungai berhampiran lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Operasi SAR turut disambung pagi ini dengan bantuan pasukan penyelamat lain termasuk pasukan bomba sukarela dan polis.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








