Johari sahkan tiada Ahli Parlimen letak jawatan setakat ini
KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan tiada mana-mana Ahli Parlimen mengemukakan surat atau notis peletakan jawatan kepada beliau, setakat ini.
Memetik laporan BH Online, Johari berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatannya dalam satu hantaran di Facebook, semalam.
Johari mengesahkan, beliau masih belum menerima sebarang surat daripada Ahli Parlimen lain yang menyatakan pendirian sama.
“Tidak ada lagi sehingga hari ini. Terima kasih,” katanya dalam laporan tersebut, hari ini.
Terdahulu, spekulasi mengenai peletakan jawatan Wong Chen timbul selepas beliau memuat naik gambar kepala surat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Subang yang dialamatkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat di media sosial.
Wong Chen yang sudah tiga penggal mewakili kerusi Parlimen Subang dijadual mengadakan sidang media, Isnin ini bagi menjelaskan perkara berkenaan, termasuk surat dan pertemuannya dengan Johari.
Sebelum ini, Wong Chen dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mendakwa tidak dibenarkan mengakses sistem portal peruntukan khas (MyKHAS) yang digunakan untuk menguruskan peruntukan pembangunan kawasan.
Terbaharu, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail juga didakwa berdepan dengan nasib sama.
Susulan itu, ketiga-tiga mereka termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan meluahkan rasa kecewa dan memberikan peringatan tegas berhubung tindakan berkenaan.
Mereka dalam kenyataan bersama hari ini, menyifatkan perbuatan itu sebagai salah guna kuasa serius, sekali gus menafikan hak untuk menguruskan peruntukan Parlimen Ampang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








