BERITA SEMASA

PRN Melaka: BN terbuka rundingan, termasuk pertukaran kerusi – Zahid Hamidi

KUDAT – Barisan Nasional (BN) tidak menutup ruang rundingan berhubung pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, termasuk kemungkinan berlaku pertukaran kerusi antara parti.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, prinsip asas dalam rundingan ialah kerusi yang dimenangi oleh mana-mana parti perlu dihormati.

Bagaimanapun, katanya, pertukaran kerusi masih boleh dipertimbangkan sekiranya dipersetujui bersama dan jumlah kerusi yang terlibat adalah seimbang.

“Sebarang perundingan, di mana-mana kerusi yang dimenangi oleh mana-mana parti, kedudukan itu hendaklah dihormati.

“Tetapi perundingan boleh dilakukan untuk ‘swap’ atau pertukaran kerusi asalkan jumlah kerusi itu sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Festival Kebudayaan Rungus anjuran Persatuan Momogun Rungus Malaysia di Dewan Persatuan Momogun Rungus Malaysia, Matunggong, di sini pada Sabtu.

Ahmad Zahid berkata, pendekatan pertukaran kerusi bukan sahaja boleh dipertimbangkan di Melaka, malah berpotensi dibincangkan di negeri-negeri lain yang ditadbir parti rakan dalam gabungan kerajaan.

Menurutnya, ruang rundingan perlu terus dibuka bagi memastikan pembahagian kerusi dapat dicapai secara baik dan mengambil kira kepentingan semua parti.

“Jadi ertinya masih ada ruang untuk perundingan itu dijalankan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid turut mengulas kemungkinan Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Wetrom Bahanda dan adiknya, Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda menyertai BN.

Beliau berkata perkara itu terlebih dahulu perlu dirundingkan oleh Pengerusi BN Sabah sebelum dibawa ke peringkat pusat untuk mendapatkan pengesahan Dewan Tertinggi BN.

Katanya, kedua-dua wakil rakyat berkenaan sering bertemu dengannya, termasuk ketika persidangan Parlimen, bukan sahaja berkaitan peruntukan tetapi turut membincangkan bantuan kepada pengundi dan rakyat di kawasan masing-masing.

Ahmad Zahid turut berharap kedua-dua Ahli Parlimen berkenaan dapat bersama BN pada Pilihan Raya Umum akan datang.

“Kalau PRU akan datang kalau Kota Marudu dan Kudat bersama-sama biru dengan saya, alangkah baiknya,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button