BERITA SEMASA

LIMA’25: Zahid imbau pengalaman naik Sukhoi SU-30MKM 15 tahun lepas

LANGKAWI – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengimbau kembali detik penuh bermakna ketika beliau diberi peluang menaiki pesawat tempur Sukhoi SU-30MKM sewaktu memegang jawatan Menteri Pertahanan pada tahun 2010.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pengalaman menaiki pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Gong Kedak itu merupakan antara kenangan paling berharga dalam hidupnya.

“Masih segar dalam ingatan, degup jantung sewaktu duduk di dalam kokpit pesawat yang digeruni dan dihormati ini. Suara juruterbang, kawalan komunikasi dan kecekapan anggota TUDM yang bertugas masih terbayang seperti baru berlaku semalam,” katanya di Facebook.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) yang telah dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Menurut Ahmad Zahid, pengalaman itu bukan sahaja memberi gambaran jelas mengenai ketangkasan pasukan udara negara, malah menanamkan penghargaan yang tinggi terhadap keberanian serta profesionalisme warga TUDM.

“Pesawat Sukhoi SU-30MKM ini bukan calang-calang jentera. Ia melambangkan kekuatan udara negara dan kehebatan juruterbang kita, berteraskan ketepatan teknologi serta disiplin tinggi,” katanya.

Ahmad Zahid yang Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut berkongsi beberapa gambar kenangan ketika menaiki pesawat tersebut, sambil menyifatkan momen itu sebagai sesuatu yang cukup mengujakan dan sukar dilupakan.

LIMA’25 yang berlangsung di Langkawi menghimpunkan pelbagai aset ketenteraan dan teknologi terkini dari dalam dan luar negara, sekali gus menjadi platform memperkukuh kerjasama strategik pertahanan Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button