POLITIK

‘Kemuka bukti, heret DAP ke mahkamah jika betul parti itu ancam Islam’ – Aiman Athirah

CYBERJAYA – Ketua Wanita Amanah, Aiman Athirah Sabu mencabar PAS dan barisan kepimpinannya mengemukakan bukti dan mengheret DAP ke mahkamah jika betul parti itu dan Pakatan Harapan (PH) jadi ancaman kepada Melayu Islam.

Beliau berkata, PAS perlu membuktikan tuduhan tersebut bukan sekadar retorik politik dan strategi membina ketakutan bagi merampas kuasa.

“Jika benar terdapat bukti bahawa DAP dan PH mempunyai agenda untuk menghapuskan Melayu dan Islam, mengancam kedudukan Islam dalam Perlembagaan, atau menjalankan usaha menentang asas negara ini, bawalah bukti tersebut ke mahkamah dan saluran undang-undang yang sah.

“Jangan hanya mengulang retorik murahan bersifat dakwaan dalam ceramah, kuliah, kenyataan media atau tulisan politik yang membakar emosi khususnya pengikut dan kemudian rakyat yang termakan propaganda jahat sebegini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Dalam hantaran sama, Aiman Athirah turut mempersoalkan tindakan PAS yang menurutnya pernah mempunyai ruang dalam pentadbiran negeri dan Persekutuan, namun tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap DAP sekiranya benar dakwaan ancaman berkenaan.

“Jika benar DAP dan PH adalah ancaman seperti yang sering digambarkan, mengapa ketika mempunyai ruang kuasa, PAS tidak mengambil tindakan undang-undang untuk mengharamkan DAP?.

“Mengapa tidak dibawa bukti DAP melanggar Perlembagaan dan mengapa tidak menggunakan institusi negara untuk membuktikan dakwaan terbabit?,” katanya lagi.

Terdahulu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi tulisan di ‘Minda Presiden PAS’ mendakwa, DAP memimpin PH menyambung kerja penjajah menghapuskan Melayu Islam.

Selain itu, Hadi mendakwa, DAP yang mendominasi PH secara terbuka itu turut mendedahkan idelaisme sekularismenya yang ekstrem menerusi konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang diperjuangkannya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button