Rayuan kes rasuah solar Rosmah bermula hari ini
PUTRAJAYA – Selepas beberapa kali ditangguhkan, rayuan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta dalam kes rasuah projek solar akan mula didengar di Mahkamah Rayuan, di sini hari ini.
Pendengaran rayuan itu dijadualkan berlangsung selama 16 hari, masing-masing pada 1 hingga 4, 8 hingga 11 serta 21 hingga 30 September ini.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azhahari Kamal Ramli sebelum ini menetapkan tarikh baharu berkenaan selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan Rosmah, 75, untuk menangguhkan pendengaran rayuannya yang sepatutnya bermula pada 1 Julai lalu.
Ketika membenarkan penangguhan itu, Azhahari memberi peringatan bahawa tiada lagi penangguhan akan dipertimbangkan selepas ini memandangkan kes berkenaan telah berlarutan sejak 2022, memetik laporan Kosmo! Online.
Beliau turut menegaskan mahkamah tidak akan berkompromi dengan tarikh pendengaran yang telah ditetapkan.
Pada prosiding terdahulu, peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah mengemukakan dua alasan utama bagi permohonan penangguhan, iaitu menunggu keputusan permohonan untuk menggugurkan hakim yang membicarakan kes solar berkenaan serta ketiadaan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader.
Berhubung permohonan menggugurkan hakim, Jagjit berkata semakan untuk menyingkirkan Datuk Mohamed Zaini Mazlan yang mensabitkan Rosmah sebelum ini perlu diputuskan Mahkamah Persekutuan.
Mohamed Zaini kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan.
Bagi alasan kedua, Jagjit memaklumkan Akberdin masih bercuti selepas melalui tempoh berkabung susulan kematian anak lelakinya dalam kemalangan jalan raya kira-kira dua bulan sebelum itu.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya K. Mangai memaklumkan pihak pendakwaan membantah permohonan penangguhan tersebut.
Pada 1 September 2022, Mohamed Zaini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah selepas mendapati beliau bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar bernilai RM1.25 bilion bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Mahkamah turut memerintahkan Rosmah menjalani hukuman penjara tambahan 10 tahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan.
Mengikut pertuduhan pertama, Rosmah didakwa meminta suapan RM187.5 juta untuk dirinya sendiri melalui bekas pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor sebagai balasan membantu Jepak Holdings Sdn Bhd mendapatkan projek solar bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.
Pertuduhan kedua pula membabitkan dakwaan menerima suapan RM1.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek berkenaan.
Bagi pertuduhan ketiga, Rosmah didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi melalui Rizal bagi tujuan sama.
Ketiga-tiga pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, peruntukan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Kesalahan berkenaan didakwa berlaku di tiga lokasi iaitu Seri Perdana, Putrajaya; Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur serta sebuah pusat beli-belah di Jalan Putra, Kuala Lumpur antara Mac 2016 dan 7 September 2017.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








