Rayuan bekas Setiausaha Bahagian Kewangan KBS kes rasuah ditangguh ke September
KUALA LUMPUR – Prosiding rayuan bekas Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Otman Arsahd yang dijatuhi hukuman penjara 15 tahun serta denda RM284.2 juta atas kesalahan rasuah dan pengubahan wang haram ditangguhkan ke 21 September depan.
Rayuan tersebut pada asalnya dijadualkan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, namun ditangguhkan selepas pihak pembelaan memohon penangguhan berikutan kelewatan menerima dokumen berkaitan kes berkenaan.
Peguam mewakili tertuduh, Muhammad Rafique Rashid Ali memaklumkan pihaknya hanya menerima eksibit, nota keterangan setebal kira-kira 4,000 muka surat serta alasan penghakiman pada 4 Jun lalu, sekali gus memerlukan masa tambahan untuk persediaan hujahan.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan semula pendengaran rayuan pada 21 hingga 23 September ini.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noor Ruwena Md Nurdin bagaimanapun mengingatkan supaya tiada lagi permohonan penangguhan selepas ini memandangkan tarikh perbicaraan telah lama ditetapkan melalui pengurusan kes sebelum ini.
“Saya terpaksa benarkan penangguhan ini, tetapi saya harap tiada lagi permohonan seperti ini kerana kes ini telah lama ditetapkan untuk pendengaran rayuan,” memetik BH online.
Pada 6 Julai 2023, Mahkamah Sesyen mendapati Otman, 67, bersalah atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan, mengemukakan tuntutan palsu serta 64 pertuduhan pengubahan wang haram yang dilakukan lebih sedekad lalu.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM284.2 juta selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Dalam penghakiman itu, mahkamah turut menjatuhkan hukuman berasingan termasuk penjara serta denda bagi setiap pertuduhan, namun ia diperintahkan berjalan serentak bermula 6 Julai 2023.
Tertuduh juga sebelum itu dibenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman dengan jaminan RM300,000 bersama seorang penjamin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








