BERITA SEMASA

Pertuduhan rasuah Lim Guan Eng dipinda

KUALA LUMPUR – Mahkamah membenarkan pindaan pertuduhan pertama terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam kes rasuah projek terowong dasar laut dan jalan utama RM6.3 bilion selepas permohonan dibuat oleh pihak pendakwaan.

Hakim Azura Alwi memutuskan bahawa pindaan tersebut adalah wajar bagi memastikan pertuduhan adalah selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Mahkamah berpendapat pindaan di saat akhir ini tidak memprejudiskan tertuduh. Menurut hakim, keadilan tetap terpelihara kerana peruntukan Seksyen 162 Kanun Tatacara Jenayah membenarkan saksi-saksi dipanggil semula untuk disoal susulan perubahan pada pertuduhan itu.

“Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda pertuduhan selaras dengan Seksyen 158 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Bagi tuduhan itu, Guan Eng didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu, menggunakan kedudukan beliau untuk menerima RM3.3 juta.

Beliau didakwa membantu syarikat milik bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, untuk mendapatkan kontrak Projek Pembinaan Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Projek bernilai RM6.3 bilion itu didakwa dilaksanakan melalui Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Pada prosiding lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata pindaan berkenaan hanya membabitkan pengguguran perkataan ‘menerima’, namun jumlah wang RM3.3 juta tetap ada dalam pertuduhan terbabit.

Beliau berkata, ia tidak menimbulkan sebarang prejudis kepada pihak pembelaan kerana pendirian mereka (pembelaan) tetap sama bahawa Guan Eng tidak pernah menerima RM3.3 juta itu.

Beliau berkata, pindaan itu adalah memenuhi kehendak undang-undang dan tidak memprejudiskan pihak pembelaan.

Katanya, undang-undang di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 tidak ada menyatakan sama ada menerima atau meminta sesuatu suapan tetapi adalah bertujuan untuk suatu suapan.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button