BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

SPRM bongkar pegawai Imigresen terbabit rasuah simpan jutaan ringgit dalam TH, ASB

KUALA LUMPUR – Taktik licik segelintir pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyembunyikan hasil rasuah dalam akaun pelaburan seperti Tabung Haji (TH) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) berjaya dibongkar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Op Rentas baru-baru ini.

Hasil siasatan mendapati seorang pegawai Imigresen memiliki simpanan berjumlah RM1.5 juta dalam beberapa akaun pelaburan, serta akaun milik anak serta isterinya yang turut berkhidmat dalam jabatan sama.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan penahanan suspek tersebut bersama dua lagi pegawai wanita dalam operasi di ibu negara.

“Suspek bersekongkol dengan sindiket ‘counter setting’ yang mana mereka dipercayai menerima rasuah sebagai balasan untuk memudahkan urusan kemasukan warga negara asing ke negara.

“Mereka ini menjalankan perbuatan itu tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya ketika mengulas pendedahan dalam video menerusi akaun TikTok rasmi SPRM semalam.

Op Rentas dijalankan serentak di empat negeri oleh Bahagian Perisikan SPRM sejak Selasa lalu.

Menerusi video sama, SPRM memaklumkan pegawai terbabit menyimpan lebih RM1 juta dalam akaun TH miliknya, isteri dan anak-anak selain RM400,000 dalam akaun ASB.

“Selain itu, kita turut merampas barangan kemas dianggarkan bernilai RM60,000 serta wang tunai RM13,900,” katanya.

Dalam serbuan lain, SPRM Kuala Lumpur turut merampas wang tunai RM150,000 termasuk RM125,000 yang ditemui di atas bumbung rumah seorang pegawai wanita serta barangan kemas bernilai RM15,000.

“Seorang lagi suspek wanita pula dijumpai menyimpan barang kemas bernilai anggaran RM80,000 serta wang tunai berjumlah RM41,470 dan 13,300 baht (RM1,761),” menurut video berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button