Ketua pengarah, pengarah agensi kerajaan direman berhubung kes seleweng dana RM900,000
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang ketua pengarah dan seorang pengarah sebuah jabatan agensi kerajaan kerana disyaki bersubahat menyeleweng dana berjumlah kira-kira RM900,000.
Perintah reman selama lima hari sehingga 16 Februari 2026 terhadap kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi ini.
Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan kira-kira pukul 1 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, di sini.
Siasatan awal mendapati mereka dipercayai menyalahgunakan kuasa dan kedudukan masing-masing dengan menggunakan peruntukan kewangan jabatan berjumlah kira-kira RM900,000 bagi kepentingan peribadi.
Selain itu, kedua-duanya turut disyaki mengemukakan tuntutan palsu serta dokumen mengandungi butir matan tidak benar berjumlah kira-kira RM60,000 bagi tujuan menunaikan umrah ketika menghadiri urusan rasmi di Jeddah dari 29 Januari hingga 4 Februari tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 serta turut melibatkan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan berkaitan pecah amanah dan menyalahgunakan harta dengan curang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








