BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Tuntutan bayaran kerja tidak dilaksana, pemilik syarikat direman SPRM

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan reman seorang pemilik perniagaan kerana disyaki mengemukakan tuntutan bayaran mengandungi butir matan palsu bagi pembekalan bernilai kira-kira RM15,000.

Tuntutan itu dibuat sebagai bayaran pembekalan bahan kimia kepada sebuah pusat penyelidikan milik institut pengajian tinggi awam (IPTA) bernilai kira-kira RM15,000 sedangkan kerja itu tidak dilaksanakan.

Perintah reman selama enam hari sehingga 20 Oktober 2024 telah dikeluarkan oleh Majistret Ameera Mastura Khamis selepas SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an telah ditahan kira-kira pukul 9 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di SPRM Selangor.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar Mac 2023 dengan membuat tuntutan palsu bagi pembekalan bahan kimia pakai habis sedangkan pembekalan tersebut tidak dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button