BERITA SEMASA

Siasatan pelaburan RM1.1 bilion: Rafizi beri keterangan lebih 8 jam di SPRM

PUTRAJAYA – Sesi soal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli hari ini berlangsung selama lebih lapan jam.

Ahli Parlimen Pandan itu dilihat tiba di Ibu Pejabat SPRM di sini kira-kira pukul 9.30 pagi tadi dan meninggalkan bangunan itu pada pukul 6.50 petang.

Rafizi berkata, siasatan berkaitan pelaburan nasional bernilai RM1.1 bilion membabitkan firma semikonduktor dari United Kingdom, Arm Holdings Plc itu berjalan lancar,

“Kami masuk tadi lebih awal 9.30 pagi. So saya ingat soal siasat bermula sharp pukul 10.00 sampai ke 6.45 tadi,” katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan Ibu Pejabat SPRM, lewat petang tadi.

Mengulas mengenai ketiadaan peguam yang hadir semasa proses soal siasat, Rafizi menjelaskan bahawa beliau memilih untuk menjawab sendiri setiap soalan yang dikemukakan.

Beliau turut menggariskan perbezaan prosedur antara Akta SPRM dan Kanun Keseksaan yang tidak memerlukan beliau hadir bersama peguam.

“Memang yang disoal siasat boleh panggil peguam. Cuma di bawah Akta SPRM, kalau sesuatu soalan ditanya, wajib jawab. Ia tidak sama macam Kanun Keseksaan yang mana kita boleh menggunakan hak untuk menjawab di mahkamah.

“Jadi, kalau kita tidak ada apa-apa yang nak disembunyikan dan fakta itu pun kita ingat dengan baik, tidak guna juga ada peguam di situ,” tambah beliau lagi.

Menurut Rafizi, siasatan akan disambung dan beliau akan hadir semula ke ibu pejabat agensi itu pada waktu yang sama esok.

“Saya kena datang esok pukul 10 pagi. Saya beri kerjasama yang penuh dan proses itu berjalan dengan lancar,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button