Kerajaan terus perkasa SPRM, teguh agenda integriti negara – PM
KUALA LUMPUR – Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai institusi berwibawa dan dihormati dalam usaha membanteras rasuah serta memperkukuh agenda integriti negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu penting bagi memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati oleh generasi masa kini dan akan datang.
Beliau berkata, usaha memperkukuh tadbir urus dan integriti perlu terus diperkasakan kerana ia merupakan teras utama kepada agenda reformasi institusi negara.
“Integriti bukan sekadar tuntutan dalam perkhidmatan awam, sebaliknya menjadi asas penting dalam menjamin keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
“Ia juga memainkan peranan besar dalam menarik pelaburan berkualiti serta menentukan masa depan negara yang lebih mampan dan berdaya saing,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Anwar menerima kunjungan hormat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman.
Menurut beliau, dalam pertemuan tersebut, penekanan diberikan terhadap usaha memperkukuh tatakelola, integriti serta agenda reformasi institusi yang menjadi tunjang kepada pembinaan Malaysia yang lebih adil, telus dan berdaya saing.
Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dalam usaha memerangi rasuah dan salah guna kuasa yang boleh menjejaskan pembangunan serta kesejahteraan negara.
Katanya, SPRM akan terus diperkasakan agar dapat melaksanakan tanggungjawabnya secara bebas, profesional dan berkesan demi kepentingan rakyat serta negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







