Op Layar: SPRM beku 21 akaun, sita aset RM12 juta
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperluas skop siasatan berkaitan dakwaan rasuah perolehan projek Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) apabila membekukan 21 akaun bank serta menyita pelbagai aset bernilai kira-kira RM2 juta.
Menurut sumber, tindakan melalui Op Layar itu diambil hasil siasatan terhadap beberapa syarikat yang dipercayai terlibat dalam amalan rasuah bagi mengesyorkan serta melantik syarikat kroni kepada seorang pegawai kanan TLDM.
Katanya, pembekuan akaun melibatkan tujuh akaun milik syarikat dan 14 akaun perbankan individu, dengan jumlah keseluruhan dianggarkan sekitar RM700,000.
“SPRM turut menjalankan semakan ke atas beberapa syarikat terbabit bersama Jabatan Akauntan Negara (AGC) bagi mengenal pasti sama ada terdapat sebarang tender atau sebut harga yang pernah diperoleh oleh syarikat-syarikat berkenaan,” katanya.
Sumber itu berkata, siasatan oleh Bahagian Perisikan SPRM juga membawa kepada penyitaan dua buah hotel yang dipercayai dimiliki pegawai kanan TLDM berkenaan, dengan nilai keseluruhan dianggarkan kira-kira RM2 juta.
“Ketika ini, SPRM sedang mengesan aset-aset lain yang dipercayai dimiliki suspek selain menjejaki pemilik syarikat yang disyaki bersekongkol dalam aktiviti rasuah tersebut,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan perkembangan siasatan berkenaan dan memaklumkan bahawa setakat ini, SPRM telah merakam percakapan tujuh individu yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







