Pegawai kanan TLDM disiasat DPRM paksa kontraktor sewa hotel miliknya
KUALA LUMPUR – Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mendedahkan wujud penyalahgunaan kuasa apabila pegawai berkenaan didakwa memaksa kontraktor menyewa penginapan di dua hotel miliknya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kontraktor yang terlibat menjalankan projek bersama TLDM memerlukan penginapan bagi pekerja mereka, khususnya pekerja luar dan situasi itu diambil kesempatan oleh pegawai terbabit untuk kepentingan peribadi.
“Dalam kes TLDM ini, seorang pegawai kanan memiliki dua hotel dan enam hingga lapan kontraktor dipaksa menempatkan pekerja mereka di hotel berkenaan.
“Kontrak dengan TLDM menggunakan pekerja luar, maka mereka perlukan penginapan dan keadaan ini dieksploitasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Podcast Kolar Hitam SPRM yang disiarkan pada Jumaat.
Menurut Azam, paksaan tersebut menyebabkan kontraktor terpaksa menanggung kos tinggi sehingga menjejaskan kelangsungan perniagaan mereka.
“Dipaksa untuk bayar. Jadi persoalannya, siapa sebenarnya pemberi dan siapa penerima? Dalam kes ini, penerima yang memiliki dua hotel itu meletakkan kontraktor dalam tekanan hingga perniagaan mereka berisiko bankrap,” katanya.
Sebelum ini, seorang pegawai kanan TLDM direman bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan rasuah melibatkan syor serta pelantikan syarikat kroni bagi mendapatkan projek di tempat beliau bertugas.
Siasatan turut mendapati pegawai berkenaan disyaki memiliki harta melebihi emolumen diterima, termasuk beberapa aset tidak alih serta kemasukan kira-kira RM2 juta daripada sumber meragukan ke dalam akaun peribadi dan dua akaun syarikat perhotelan miliknya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








