BERITA SEMASA

SPRM perjelas isu tular individu dakwa diri pegawai SPRM

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan kewujudan individu yang menyamar sebagai pegawai agensi itu seperti yang menjadi tular di media sosial, hari ini.

SPRM dalam sau kenyataan hari ini menegaskan, perbuatan itu adalah tidak sah, menyalahi undang-undang dan boleh menjejaskan integriti institusi.

“Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati sekiranya berhadapan dengan individu yang mendakwa dirinya sebagai pegawai SPRM.

“Semak identiti pegawai SPRM melalui saluran rasmi sebelum memberikan sebarang maklumat atau kerjasama. Laporkan segera kepada SPRM sekiranya berdepan dengan insiden penyamaran.

“SPRM menegaskan bahawa perbuatan menyamar sebagai pegawai SPRM adalah satu kesalahan jenayah,” kata SPRM dalam kenyataan tersebut, hari ini.

SPRM berkata, antara peruntukan yang boleh dikenakan ialah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya.

“Tindakan tambahan boleh diambil mengikut undang-undang lain yang berkaitan sekiranya penyamaran yang membabitkaan penipuan atau cubaan memperdaya masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, SPRM memaklumkan orang ramai boleh mendapatkan pengesahan dan maklumat sahih melalui saluran rasmi seperti laman web www.sprm.gov.my, media sosial rasmi SPRM (Facebook, Instagram, TikTok dan Twitter) serta talian bebas tol, 1-800-88-6000.

Terdahulu, seorang pengguna di aplikasi Threads mendakwa dihubungi individu yang disyaki menyamar sebagai pegawai SPRM.

Berdasarkan bebenang dikongsi, pengguna tersebut turut memuat naik satu gambar kad pekerja agensi SPRM dengan menggunakan ‘Amirul Haikal Bin Hassan’ yang dipercayai dikongsi individu berkenaan.

Berdasarkan tangkap layar dimuat naik pengguna itu juga, individu tersebut mengaku dirinya sebagai seorang duda anak satu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button