PRN Johor: ‘Akak Kapal’ yakin PH mampu gegar kubu tradisi Sungai Balang
MUAR – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang, Ayna Soraya Badaruddin atau lebih dikenali sebagai ‘Akak Kapal’, optimis gabungan itu mampu mencipta kejutan di kerusi yang sekian lama dianggap sebagai kubu tradisi UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Calon berusia 31 tahun itu berkata, keyakinan tersebut didorong oleh sambutan positif yang diterimanya sepanjang tempoh berkempen, khususnya daripada golongan muda yang dilihat semakin terbuka menerima tawaran politik baharu.
Bagaimanapun, Ayna Soraya yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya mengingatkan seluruh jentera PH supaya tidak terlalu yakin, sebaliknya terus menggandakan usaha sehingga hari pengundian pada 11 Julai ini.
“Saya melihat berdasarkan analisis program dan gerak kerja yang kita jalankan, sambutan memang sangat luar biasa, khususnya daripada golongan muda, malah turut melibatkan pengundi yang lebih berusia.
“Insya-Allah kemenangan itu semakin hampir. Tetapi perjuangan tidak berakhir di situ. Macam-macam boleh berlaku. Kita perlu kekalkan momentum dan jangan sesekali rasa selamat,” katanya memetik laporan FMT.
Graduan kejuruteraan maritim dari University of Southampton itu berkata, penglibatannya dalam politik bukan semata-mata untuk memenangi pilihan raya, sebaliknya didorong hasrat untuk membawa isu pembangunan Sungai Balang ke tahap yang lebih tinggi.
Menurutnya, kawasan itu mempunyai potensi besar dalam pelbagai sektor dan wajar diberi perhatian secara lebih serius.
“Sungai Balang sangat kompleks. Banyak segmen dan sektor yang boleh dibangunkan.
“Saya mahu membawa perkara ini ke hadapan supaya kawasan ini menjadi contoh kepada daerah Muar,” katanya.
Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Ayna bakal berdepan penyandang kerusi, Selamat Takim daripada Barisan Nasional (BN), serta calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Amin Sailan.

Beliau turut berkongsi bahawa keputusan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dibuat selepas mengikuti perjuangan parti itu sejak zaman pengajian, selain mengagumi kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
“Saya melihat bagaimana beliau membina satu wadah politik yang memberi pilihan kepada rakyat dan menggalakkan pemikiran lebih kritikal.
“Saya juga sangat mengidolakan Nurul Izzah. Beliau seorang yang mempunyai kelembutan dalam ketegasan,” katanya.
Ayna Soraya mengakui keputusan untuk menceburi politik menerima pelbagai reaksi daripada ahli keluarga, namun menegaskan restu ibu bapa merupakan perkara paling utama baginya.
“Saya mengambil pendekatan untuk tidak membawa perbincangan politik ke dalam keluarga kerana setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza.
“Yang penting saya mendapat keredaan ibu bapa,” katanya.
Mengulas cadangan mewajibkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita dalam pilihan raya serta dalam kalangan pembuat dasar, Ayna berkata beliau menyokong penuh usaha berkenaan.
Menurutnya, pengalaman bekerja dalam industri yang didominasi lelaki menjadikan beliau lebih memahami cabaran yang dihadapi wanita, termasuk dalam arena politik.
“Saya sudah biasa bekerja dalam bidang yang majoritinya lelaki dan saya juga berdepan cabaran yang sama dalam politik.
“Wanita bukan sahaja memikul tanggungjawab sebagai pemimpin, tetapi juga sebagai ibu, isteri dan anak. Itu merupakan cabaran yang besar,” katanya.
Mengulas perubahan corak sokongan pengundi Johor antara Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Ayna berpandangan bahawa suasana kedua-dua pilihan raya itu sangat berbeza.
Katanya, PRN Johor berlangsung ketika negara masih berada dalam fasa pemulihan pasca-pandemik Covid-19, menyebabkan ramai pengundi, termasuk golongan muda dan masyarakat Cina, tidak keluar mengundi.
“Pada PRU, suasananya berbeza kerana ia melibatkan seluruh negara. Vibe ketika itu berbeza dan lebih ramai pengundi keluar menunaikan tanggungjawab,” katanya.
Beliau percaya sokongan rakyat Johor terhadap PH tidak banyak berubah, sebaliknya kadar peratusan keluar mengundi yang rendah pada PRN lalu memberi kesan kepada jumlah kerusi yang berjaya dimenangi gabungan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















