
SPR seru calon patuhi undang-undang semasa Hari Penamaan Calon 27 Jun
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 Jun ini sebagai Hari Penamaan Calon (HPC) bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor Ke-16.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, proses penamaan calon akan berlangsung dari jam 9 pagi hingga 10 pagi di 56 pusat penamaan calon yang ditetapkan di seluruh negeri.
Menurut beliau, kertas penamaan calon boleh diserahkan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya oleh calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua individu daripada mereka, atau salah seorang daripada mereka.
“SPR menyarankan bakal calon yang ingin bertanding supaya mengisi borang pencalonan dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor sebelum hari penamaan calon.
“Mereka juga digalakkan membuat pembayaran deposit lebih awal dan membawa resit pembayaran sebagai bukti semasa proses penamaan calon,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, calon yang mewakili parti politik turut diwajibkan mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti ketika menyerahkan kertas penamaan calon.
Dalam pada itu, SPR mengingatkan semua calon bahawa penggunaan bahan kempen adalah tertakluk kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 serta undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Penggunaan alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan kempen politik melalui kenderaan serta menunggu atau berada dalam lingkungan 50 meter dari sempadan yang ditetapkan pada hari penamaan calon merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang pilihan raya.
“SPR menyeru bakal calon dan parti politik yang terlibat supaya sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika serta arahan yang dikeluarkan oleh SPR dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar,” katanya lagi.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan calon, penyokong dan pihak berkepentingan supaya mengambil langkah berjaga-jaga susulan ramalan cuaca yang menunjukkan kemungkinan hujan dan ribut petir di beberapa kawasan di Johor pada hari berkenaan.
“Semua pihak disaran merancang perjalanan lebih awal bagi memastikan keselamatan dan kelancaran urusan penamaan calon PRU Dewan Negeri Johor Ke-16,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








