BERITA SEMASA

Aktiviti komuniti, pemeriksaan kesihatan warnai Fun Run MADANI

BATU PAHAT – Program Larian Komuniti MADANI 2026 yang berlangsung di perkarangan Studio Zana, Senggarang hari ini menjadi platform mengeratkan hubungan masyarakat selain memupuk budaya hidup sihat menerusi pelbagai aktiviti yang disediakan kepada penduduk setempat.

Fahmi fadzil

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang hadir melepaskan peserta larian berkata, program seumpama itu membuktikan aktiviti komuniti mampu menyatukan masyarakat pelbagai lapisan dalam suasana harmoni dan penuh semangat kekeluargaan.

“Program seperti ini bukan sahaja menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat, malah menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan antara penduduk serta memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam komuniti.

“Penyertaan yang memberangsangkan daripada pelbagai peringkat umur menunjukkan masyarakat semakin sedar mengenai kepentingan menjaga kesihatan dan terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan,” katanya di sini hari ini.

Program anjuran Persatuan Bola Jaring Batu Pahat (BARU) dengan kerjasama Batu Pahat Specialist Hospital (KPJ) itu turut menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma kepada pengunjung selain sesi senamrobik.

Menurut Fahmi, penyediaan pemeriksaan kesihatan percuma memberi peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan saringan awal dan meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan.

“Kerjasama pelbagai pihak termasuk pertubuhan komuniti dan institusi kesihatan seperti ini wajar diteruskan kerana ia membawa manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya lagi.

Selain acara larian, program tersebut turut dimeriahkan dengan pertandingan Shoot & Target serta pelbagai aktiviti santai melibatkan keluarga.

Antara yang mencuri tumpuan ialah pertandingan melibatkan ibu-ibu memakai kain pelekat dan bapa-bapa memakai kain batik, selain pertandingan mewarna untuk kanak-kanak prasekolah berusia enam tahun.

Dalam pada itu, Fahmi merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Persatuan Bola Jaring Batu Pahat (BARU), Zanariah Ujud serta seluruh jawatankuasa penganjur atas komitmen menjayakan program berkenaan.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga usaha seperti ini dapat diteruskan bagi memperkukuh hubungan masyarakat dan menyemarakkan budaya hidup sihat dalam kalangan rakyat,” katanya lagi.

Program Larian Komuniti MADANI 2026 merupakan antara aktiviti komuniti yang diadakan bagi mendekati rakyat serta menggalakkan penyertaan masyarakat dalam program yang memberi manfaat kepada kesejahteraan dan perpaduan komuniti setempat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button